Wednesday 17 September 2014

Ranking Universiti-Universiti di Malaysia




SINGAPURA 16 Sept. - Ranking universiti-universiti di Malaysia semakin meningkat berdasarkan senarai QS World University Rankings 2014, apabila tiga universiti berada dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia.

Menurut senarai terbaru itu, Universiti Malaya (UM) berjaya memperbaiki kedudukannya daripada tangga ke-167 pada tahun lepas, kepada 151 pada tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menduduki tangga ke-259 daripada 269 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meningkat ke tangga 294 daripada 355.
Kedudukan Universiti Sains Malaysia (USM) juga bertambah baik, daripada 355 kepada 309; Universiti Putra Malaysia (UPM) di tangga ke-376 daripada kedudukan 411-420, manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kekal dalam slot yang sama (501-550) seperti pada tahun lepas. 

Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga memperbaiki kedudukannya, berada dalam kategori 651-700 berbanding tahun lepas 701 . 

Berdasarkan senarai itu, bermakna Malaysia kini mempunyai lima universiti berada dalam kelompok 400 universiti terbaik dunia.

Penilaian QS World University Rankings berdasarkan empat tonggak utama - penyelidikan, pengajaran, kebolehgajian dan pengantarabangsaan.

Keseluruhannya, laporan itu berkata QS World University Rankings meletakkan fokus kajian saintifik dan teknologi berimpak tinggi sebagai tonggak kemajuan kepimpinan.

Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat (AS) berada di tangga teratas dalam kelompok 10 institusi terbaik dunia bagi tahun ketiga berturut-turut.

Ia diikuti University of Cambridge (United Kingdom), Imperial College London (UK), Harvard University (AS), University of Oxford (UK), UCL (University College London) (UK), Stanford University (AS), California Institute of Technology (AS), Princeton University (AS) dan Yale University (AS). - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment