Tuesday, 2 September 2014

Ikon Belia: Ustaz Don






 Ustaz Don: 'Itu ujian ALLAH'

BELIAU bukan penyanyi atau pelakon terkenal namun pendakwah bebas ini tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni tempatan.

Cukup popular menerusi program interaktif agama Islam, 30 Minit Ustaz Don di saluran TV AlHijrah, beliau sebenarnya sangat dekat di hati masyarakat.

Bukan sahaja kerana penampilan yang cukup sederhana tetapi program 30 Minit Ustaz Don yang dikendalikannya telah menarik minat penonton.

Malah, ceramah yang disampaikan menerusi laman sosial YouTube dan tempat-tempat awam juga berjaya menyentuh emosi tetamu yang hadir mendengar ceramah beliau.

Pernah dihimpit kontroversi awal tahun lalu, bukan bererti hos Ihya Ramadan ini patah semangat meneruskan misinya untuk menyampai dan berkongsi ilmu bersama umum.

Bagi empunya nama Don Daniyal Biyajid ini apa yang dilalui hanyalah sedikit ujian yang ALLAH SWT turunkan kepadanya sementelah kini penglibatannya dalam aktiviti seni semakin mendapat perhatian.

Kerana itu, beliau sering menasihati diri sendiri agar tidak alpa dalam kehidupan.


'Perbaiki niat', dakwah kerana ALLAH

Tugas sebagai pendakwah bukan sekadar memberi penerangan berdasarkan syariat Islam atau pun memberi teguran secara semberono.

Menurut pendakwah muda ini, walaupun tugasnya sebagai penceramah mendedahkan dia kepada orang ramai, namun bukan niatnya menegur atau menasihati individu itu secara suka-suka.

Sebaliknya, apa yang dikongsi mengingatkan dirinya bahawa apa yang disampaikan adalah nasihat untuk diri sendiri.

Ustaz Don memberitahu, beliau gembira sekiranya apa yang dikatakan memberi manfaat kepada orang lain.

"Apa yang saya kongsi bukan untuk orang lain sahaja sebaliknya diri saya sendiri, jika mereka mendapat kebaikan dan faedah daripada perkongsian saya, itu lebih bagus," kata anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini.

Akuinya, pertama sekali, mengikut dasar Islam segala perkara haruslah bermula dengan niat.

"Sebab itu kita kena sentiasa perbaiki niat, buat amalan kerana Allah taala.

"Sebagai contoh antara perkara yang saya boleh timbal balik, bila ada orang kata aku ni buat kuliah, tapi orang lain asyik tengok kuliah ustaz lain saja, aku ni orang tak pandang.

"Kalau begitu yang kita harapkan ertinya kita tak ikhlas melakukan sesuatu pekerjaan," katanya kita sentiasa dinilai dari niat.

Dek kerana itu, beliau sempat mengingatkan pendakwah sedia ada termasuk dirinya, supaya memperbaiki niat sebelum menceburkan diri dalam bidang ini.

"Tolonglah pendakwah, berdakwahlah kerana Allah SWT, pastikan perbaiki niat kita dan jangan berhenti menjadi seorang yang kreatif," ujarnya ketika ditemui di majlis mari beraya bersama Ustaz Don anjuran syarikat telekomunikasi Digi baru-baru ini.


Lebih ramai, lebih bagus

Di tebak soalan adakah kehadiran lebih ramai pendakwah muda kini memberi persaingan hebat padanya, tenang beliau menjawab, lebih ramai pendakwah adalah lebih bagus.

"Ini adalah benda yang betul, kita bukan nak ada Ustaz Don sahaja. Kita nak ramai orang lagi.

"Seperti TV AlHijrah, bukan stesen ini sahaja yang layak menyiarkan program-program Islamik sebaliknya semua televisyen pun layak.

"Ia tidak menjadi masalah, lagipun TV Islam bukan pada nama tetapi pada bahan dan program yang disampaikan kepada audiens," katanya.

Turut berkongsi pendapat bekas ketua pegawai eksekutif, TV AlHijrah terdahulu, menurut Ustaz Don, tidak semua hiburan menghiburkan, tetapi sesuatu yang menghiburkan itu adalah hiburan.

"Tidak semua hiburan itu tidak baik, misalnya, ada orang yang mendengar kuliah agama, dia akan merasa terhibur dan itu menjadi satu hiburan untuknya," katanya.


Hasilkan komik

Bercakap mengenai perkembangan terbarunya, siapa sangka graduan lulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir mempunyai minat tinggi terhadap penerbitan komik.

Akuinya, dia bakal menerbitkan komik yang diberi judul Don Nation dalam masa terdekat.

Menurutnya, dia sudah lama ingin menghasilkan komik sementelah niatnya itu sudah dipasang sejak di sekolah menengah lagi.

"Saya fikir jika orang lain mempunyai idea dan cerita untuk diketengahkan, mengapai tidak saya. Saya juga punya cerita tersendiri yang boleh dikongsi bersama.

"Bagaimanapun, kerana cabaran mendapatkan pelukis membuatkan saya terpaksa menanti selama tujuh tahun untuk merealisasikan impian ini.

"Alhamdulillah, akhirnya tahun lalu saya berjaya berjumpa dengan pelukis yang sudi membantu saya," katanya konsep komik ini berkisar pemberian.

Komik tersebut boleh didapati dalam bentuk E-Book sebelum diterbitkan dalam versi cetakan.

Selain itu, Ustaz Don juga akan memperkenalkan siri animasi baru, iaitu Tadika Ustaz Don yang masih dalam proses pembikinan.

Sedikit mengenai program mari beraya bersama Ustaz Don, jelasnya, program berkenaan bertujuan menghargai pelanggan setia Digi.

"Selain meraikan pelanggan yang memenangi peraduan dianjurkan, kita juga tidak ketinggalan meraikan anak-anak yatim dari rumah anak cahaya Tengku Ampuan Rahimah (Ractar) Subang Jaya," katanya.

 Sumber: http://www.sinarharian.com.my/hiburan/ustaz-don-itu-ujian-allah-1.313246

#belia


0 comments:

Post a Comment