Tuesday, 30 December 2014

Pengurusan Bencana X: Ambilan Barangan di Saat Darurat


1. Mangsa banjir yang terperangkap lalu memecah masuk mana-mana rumah atau kedai berhampiran (yang tiada dijaga lagi oleh tuan milik kerana telah dipindah atau menyelamatkan diri) untuk mendapatkan bekalan makanan dan pakaian asasi yang sangat terdesak adalah TIDAK BERDOSA dan DIMAAFKAN di dalam hukum Islam. Mereka juga TIDAK DINAMAKAN PENCURI atau MENCURI. Malah jika wujud hudud dilaksanakan di sesebuah negara, kes sebegini TIDAK termasuk dalam hukuman yang boleh dikenakan hudud.

2. Pun begitu, ia tetap dikira kesalahan menurut undang-undang negara dan pihak polis menyatakan jika didakwa, terserah kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskan keputusan terbaik berdasarkan keadaan dan situasi sebenar.

3. Jika mangsa banjir dapat membuat congakan jumlah nilai barang yang diambil, adalah terlebih baik jika mereka dapat membayarnya kemudian, di waktu sudah aman dari ancaman banjir. Jika mereka gagal membuat bayaran semula kerana kemiskinan atau kerosakan & kerugian terlalu besar, maka tanggungjawab mengganti beralih kepada zakat atau ke atas tanggungjawab negara.

4. Bagi pihak pemilik pula, jika mereka menghalalkan dan mengganggapnya sebagai sedeqah atau derma bantuan kemanusiaan. Insha Allah bakal diganjari Allah swt sebagai pahala buat diri mereka di akhirat nanti (khususnya jika muslim) atau balasan kebaikan di dunia bagi non muslim.

5. Memecah masuk secara menyerang dan merampas sedang wujud tuan rumah atau tuan kedai dan merampas dengan paksa adalah ditegah menurut hukum Islam. Sewaktu pemilik wujud, izin mereka mestilah dipohon terlebih dahulu.

6. Memecah masuk dan mengambil barangan secara berlebihan iaitu barang bukan keperluan asasi adalah diharamkan dan berdosa.

Sekian,
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
30 Dis 2014.

Ikuti kupasan lanjut di Facebook Ustaz Dr Zaharuddin

0 comments:

Post a Comment